Ma, nak kahwin! Ma janganlah bersusah
hati ya, ini kerana pernikahan itu membuka seribu pintu rezeki. Perkahwinan
atas nama Islam, sudah pasti akan diredhai Allah. Daripada Anas r.a, katanya
telah bersabda nabi S.A.W bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang
benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku. Allah S.W.T menjadikan manusia
dengan fitrahnya yang ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih-sayang, bahagia,
dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut
dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah. Bolehkah ma?
Ma, nak kahwin! Ma janganlah
menghalang keinginan saya, kerana Allah sudah berjanji, barangsiapa berkahwin
keranaNya pasti akan dipermudah segala urusan. Namun cinta jangan dilawan,
kerana bila jodoh datang bertandang, tiada siapa yang mampu menolak kuasa
Tuhan. Bolehkah ma?
Ma, nak kahwin! Jangan sesekali risau
pasal pelajaran, kerana ia takkan pernah berhenti. Sampai ke mati
sekalipun, ilmu takkan pernah habis dicari. InsyaAllah, si dia yang bergelar
suami tidak akan menghalang saya menuntut ilmu, kerana kami berdua dahagakan
ilmu. Menunda perkahwinan menurut Syeikh Muhamad Bin Shalih Al-Utsaimin
adalah sikap yang bertentangan dengan perintah Rasulullah SAW:
SAW bersabda: “Jika seorang lelaki yang engkau
sukai agama dan akhlaknya melamar, maka nikahilah dia (dengan puterimu). Jika
hal itu tidak kamu lakukan, maka akan ada fitnah di atas bumi dan kerosakan”
Ma, nak kahwin! Walaupun si dia yang
merupakan lelaki pilhan saya masih belum bekerja, bukan bermaksud dia tidak
boleh menyara bakal isterinya. Sudah tercatat di dalam Quran, orang miskin
sekalipun pasti akan dimampukan oleh Allah lepas berkahwin.
Ma, nak kahwin! Berkahwin itu
menghalang maksiat. Daripada si dia melihat perempuan di sana sini, lebih baik
dia melihat isterinya saja. Dapat pahala lagi. Ma, perkahwinan juga adalah
benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Manusia perlu
berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi dan fitrah dijadikan Allah. Maka
atas tuntutan itu, tanpa adanya perkahwinan, manusia akan terjerumus ke lembah
perzinaan dan maksiat. Nauzubillah.
Ma, nak kahwin! Percayalah yang
calon suami saya memang sudah bersedia untuk bertanggungjawab. Jangan dilihat
pada kematangan pada usia, tapi lihatlah pada peribadi dirinya. Jika dia sudah
bersedia menjadi pemimpin, benarkanlah dia jadi pemimpin kepada isterinya
pula. Walaupun, Ilmu agamanya sedikit, tapi si dia tiada pernah berhenti
mencari ilmu. Maka doakanlah supaya dia dapat menjadi seorang lelaki yang lebih
soleh dan dapat membimbing saya ke jalan Allah.
Ma, nak kahwin! Semua ini hanyalah
keinginan anak ma saja. Namun kiranya tiada dipersetujui, anak ma terima sepenuh
hati. Kerana si dia juga tahu, bagaimana untuk menghormati keputusan kedua
orang tuanya. Namun, sekirannya ma bersetuju ingin mendapat anak menantu, maka
izinkanlah anak ma ini mencari calonnya. InsyaAllah, bukan calon suami yang
dicari, tapi calon ayah kepada cucu ma yang akan dicari.
Ma, nak kahwin! Apa pun jua
keputusan dipilih, semoga Allah sentiasa memberkati. Dan semoga pilihan itu
adalah yang terbaik. Sama samalah kita berharap kepadaNya.
Tapi apakan daya aku hanya mampu menulis untuk
meluah isi hati. Andai isi hati anakmu ini dapat dibaca dan difahami oleh ma dan pa juga, alangkah bagusnya. Ya Allah, permudahkanlah segala urusan anak ma dan pa ini, amin ~

